PUTATAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini memperkukuh kesiapsiagaan logistik dan aset udara bagi menghadapi risiko kebakaran hutan susulan Monsun Barat Daya yang dijangka bermula hari ini hingga September, membawa cuaca lebih panas dan kering.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menjangkakan trend kebakaran meningkat tahun ini berbanding tahun lalu berikutan kesan El Nino pada peringkat awal tahun.
Menurutnya, Monsun Barat Daya lazimnya menyebabkan tempoh hari tanpa hujan menjadi lebih panjang selain meningkatkan risiko kebakaran terbuka.
“Fokus kita sekarang ialah menggerakkan pasukan dan membuat persiapan logistik untuk menghadapi kebakaran hutan.
“Trend tahun ini memang meningkat berbanding tahun lalu kerana ada sedikit kesan El Nino yang menyebabkan keadaan lebih kering,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Community Fire Learning Centre (CFLC) Balai Bomba dan Penyelamat (BBL) Putatan, hari ini.
Nor Hisham berkata, walaupun JBPM tidak menjangka musim Monsun Barat Daya kali ini terlalu buruk, persiapan tetap dipertingkat termasuk kesiapsiagaan aset udara.
Katanya, lima helikopter JBPM kini berada dalam keadaan siap sedia untuk operasi sekiranya diperlukan.
“Kita pernah berdepan tujuh kebakaran besar serentak di Kota Kinabalu sebelum ini, jadi pengalaman itu dijadikan persediaan menghadapi musim panas kali ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengawal aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan kebakaran tidak terkawal.
“Kalau mahu membakar, pastikan dalam kawalan penuh dan jangan tinggalkan api tanpa pemantauan.
“Kalau berlaku kebakaran, jangan tunggu api merebak baru panggil bomba,” katanya. – Info X