Search

RM5 beli rokok tidak dapat, lelaki mengamuk ugut keluarga dengan pisau

May 14, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Gara-gara permintaan wang RM5 untuk membeli rokok tidak dipenuhi, seorang lelaki bertindak mengamuk sebelum mengugut ahli keluarganya menggunakan pisau dalam kejadian di Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai Besar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun dipercayai mula bertindak agresif selepas ibunya hanya memberi RM2 untuk membeli rokok.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek kemudian menendang perabot rumah selain mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap ahli keluarganya.

Menurutnya, suspek turut bertengkar dengan adiknya sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

“Keadaan menjadi semakin tegang apabila suspek naik semula ke rumah dan mengambil sebilah pisau pemotong daging.

“Suspek kemudian bertindak merosakkan bahagian pemegang motosikal menggunakan pisau berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ibu suspek yang bimbang keselamatan diri serta ahli keluarga lain kemudian membawa keluar seorang lagi anaknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Bombalai.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai berjaya menahan suspek kira-kira jam 8.30 malam pada hari sama di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.

“Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging dipercayai digunakan semasa kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga mengancam keselamatan ahli keluarga dan orang sekeliling. – Info X