PUTATAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merancang menempatkan sebuah helikopter ringan di Sabah bagi memperkukuh operasi pemantauan bencana terutama banjir dan tanah runtuh di kawasan pedalaman negeri ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, perancangan itu dibuat selepas mengambil kira faktor jumlah kejadian, keluasan kawasan dan tempoh masa tindak balas operasi di Sabah.
Menurutnya, buat masa ini pangkalan utama operasi udara JBPM untuk seluruh Borneo masih ditempatkan di Miri, Sarawak.
“Kita akan kekalkan pangkalan di Miri untuk operasi seluruh Borneo bagi jangka pendek.
“Tetapi perancangan seterusnya ialah meletakkan satu unit helikopter ringan supaya operasi pemantauan banjir atau tanah runtuh dapat dilakukan tanpa perlu menggunakan helikopter besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Community Fire Learning Centre (CFLC) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, hari ini.
Menurutnya, helikopter sedia ada lebih sesuai digunakan untuk membawa logistik atau memindahkan mangsa dalam jumlah besar.
Katanya, penggunaan helikopter ringan lebih menjimatkan selain sesuai untuk operasi pemantauan di kawasan sukar diakses.
“Selepas kita menerima dua unit helikopter dari Itali pada Oktober nanti, kita akan susun semula kekuatan aset dan juruterbang.
“Apabila semuanya siap, kita boleh tempatkan helikopter secara sementara di Sabah mengikut musim dan keperluan operasi,” katanya. – Info X