PUTATAN: Laluan baharu Lebuhraya Pan Borneo dari Putatan ke Inanam dan Manggatal dijangka dibuka pada Julai atau Ogos depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata laluan itu membabitkan dua pakej pembinaan, iaitu Pakej Kerja 6 (WP6) dan WP7.
Katanya, kedua-dua pakej kerja itu yang bermula dari Putatan disasar mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Kota Kinabalu.
“Dua pakej kerja akan dibuka iaitu menghubungkan Putatan dengan Manggatal tanpa melalui Kota Kinabalu. Ini akan meringankan beban jalan, iaitu WP6 dan WP7.
“Ini boleh meringankan kesesakan di Kota Kinabalu. Jadi kepada sesiapa yang tidak ada urusan untuk singgah ke KK, mereka boleh terus melalui jalan ini.
“InsyaAllah sebelum bulan Julai atau Ogos. Ya, bulan Julai kita akan buka itu, laluan WP6 dan WP7,” katanya pada sidang media, di Wisma Pan Borneo, di sini, pada Rabu.
Pakej kerja berkenaan masing-masing membabitkan jarak 21.7 kilometer dan 9.9 kilometer dengan beberapa persimpangan bertingkat dibina di sepanjang laluan.
Sementara itu, Ahmad berkata sembilan lagi pakej kerja 1A projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dijangka siap pada tahun ini, termasuk di Sipitang dan dari Beaufort ke Papar.
Laluan itu membabitkan pakej kerja WP1, WP3, WP4, WP7, WP8, WP10, WP29, WP30 dan WP11, menjadikan 13 pakej kerja dijadual siap sehingga tahun ini, termasuk empat yang sudah siap sebelum ini iaitu WP5, WP15, WP21 dan WP27. – Info X