PUTATAN: Community Fire Learning Centre (CFLC) yang diwujudkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan bukan hanya berfungsi sebagai pusat pendidikan kebombaan, malah turut dibuka kepada komuniti untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada pelan strategik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta JBPM dalam memperkukuh pendidikan keselamatan awam.
Menurutnya, sebanyak 16 CFLC dirancang di seluruh negara dengan lima dibangunkan menggunakan peruntukan jabatan manakala baki lain direalisasikan melalui kerjasama komuniti dan sektor swasta.
“Kita sasarkan lapan CFLC tambahan tetapi berjaya laksanakan 11 menerusi inisiatif 4P iaitu People, Public, Private dan Partnership.
“CFLC di Sabah ini dibangunkan bersama tujuh entiti swasta dan saya lihat ia antara yang paling lengkap,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian CFLC BBP Putatan, hari ini.
Beliau berkata, komuniti dibenarkan menggunakan fasiliti di balai bomba termasuk untuk mesyuarat, jamuan atau sambutan tertentu.
Bagaimanapun katanya, syarat utama ialah setiap program perlu diselitkan slot pendidikan keselamatan kebakaran sebelum aktiviti dijalankan.
“Kalau ada orang mahu buat sambutan hari jadi secara beramai-ramai, kita alu-alukan.
“Tetapi sebelum program bermula, kita akan gunakan satu slot untuk ajar berkaitan keselamatan kebakaran kepada komuniti,” katanya.
Menurutnya, pendidikan keselamatan penting kerana kebanyakan orang jarang berdepan pengalaman kebakaran sehingga mudah melupakan langkah asas keselamatan.
“Perkara kecil seperti lokasi simpan kunci pagar, cara mengunci suis utama elektrik atau kedudukan kunci rumah sebenarnya boleh menentukan hidup dan mati ketika kecemasan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, JBPM turut menyasarkan melatih 50,000 pelajar di seluruh negara dalam tempoh lima tahun menerusi program asas menyelamatkan diri daripada lemas.
Katanya, program itu penting khususnya di Sabah yang mempunyai banyak kawasan berisiko seperti sungai, laut dan kawasan banjir.
“Kita mahu kanak-kanak ada asas menyelamatkan diri kerana berdasarkan kajian, 83 peratus risiko kematian akibat lemas dapat dikurangkan jika seseorang tahu berenang,” katanya. – Info X