Search

285 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

May 14, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah memindahkan seramai 285 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing di Pelabuhan Lahad Datu, semalam.

Semua PATI terbabit dihantar pulang ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial selepas selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.

Program itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan.

JIM Sabah dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah itu, seramai 88 lelaki dewasa, 82 perempuan dewasa, 60 kanak-kanak lelaki dan 55 kanak-kanak perempuan berusia antara lapan bulan hingga 77 tahun.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing sepanjang proses penghantaran pulang.

“Sehingga hari ini, seramai 1,835 warga Filipina sudah dipindahkan ke negara asal daripada keseluruhan 2,970 tahanan PATI warga asing.

“Semua tahanan yang dipindahkan memiliki dokumen perjalanan sah selain selesai menjalani hukuman yang ditetapkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, majikan di negeri ini turut disaran menyertai Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S) yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Katanya, sistem berkenaan diwujudkan bagi mengurus serta merekod keberadaan pekerja asing di Sabah selain membantu mengekang lambakan PATI dan isu dokumentasi.


JIM Sabah turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Majikan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan,” katanya. – Info X