KIULU: Rakyat Kiulu diminta tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang yang mencanang naratif kononnya kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak bersungguh-sungguh menuntut hak 40 peratus hasil bersih yang dikutip dari negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, sebaliknya menegaskan kepemimpinan negeri komited sepenuhnya untuk mendapatkan hak itu secepat yang mungkin.
Katanya, pendekatan kerajaan negeri mengutamakan rundingan, libat urus dan mengekalkan hubungan kerja harmoni dengan kerajaan Persekutuan yang sudahpun menghasilkan keputusan positif.
“Ini boleh dilihat menerusi peningkatan pemberian khas daripada RM53 juta ketika pentadbiran Warisan sebelum ini kepada RM600 juta di bawah kerajaan pimpinan GRS sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Kaamatan dan sesi libat urus bersama wakil Mahkamah Anak Negeri dan Ketua Kampung, di sini, pada Ahad.
ADUN Kiulu yang juga Ketua Penerangan GRS itu, berkata pentadbiran GRS di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga berjaya memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS yang disifatkan sebagai langkah strategik yang menjana berbilion ringgit pulangan kepada Sabah.

“Kerajaan GRS kekal teguh dan tidak akan mengalah dalam usahanya untuk mendapatkan kelayakan hasil 40 peratus itu.
“Selain terus mendesak perkara ini, kepimpinan kerajaan negeri juga terus berusaha mendapatkan bayaran pemberian khas yang lebih tinggi dan lebih banyak perjanjian kerjasama dengan Putrajaya,” katanya.
Berikutan itu, beliau meminta Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya membantu memberi penjelasan yang tepat mengenai dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat akar umbi.
Sementara itu, Joniston mengumumkan penubuhan satu panel bebas untuk menilai prestasi dan keberkesanan Ketua Kampung di Kiulu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
“Panel itu juga akan menerima dan melihat aduan berkaitan prestasi dan tatalaku Ketua Kampung. Kita tidak akan teragak-agak untuk menukar mereka yang gagal menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.
Panel itu katanya merangkumi individu yang berintegriti dan melapor secara terus kepada pejabat ADUN Kiulu.
Beliau menjelaskan inisiatif itu adalah sebahagian usaha yang sedang dijalankan bagi memastikan pemimpin akar umbi kekal memberikan khidmat yang berkesan kepada rakyat. – Info X