KOTA KINABALU: Perbualan santai sekumpulan penghuni rumah mengenai keadaan atap bertukar cemas apabila mereka menyedari ‘sesuatu’ sedang bergerak di sebalik kain siling rumah di Jalan Mawillah Dua, Sepanggar, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tiga orang dewasa bersama empat kanak-kanak berada di dalam rumah sebelum salah seorang daripada mereka ternampak kain pada bahagian siling bergerak-gerak seperti ditiup angin.
Namun, keadaan bertukar panik selepas mereka menyuluh ke arah siling berkenaan dan terlihat bayang seekor ular sedang bersembunyi di atas bumbung rumah.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.32 petang sebelum sepasukan anggota dari PKOU Sulaman digerakkan ke lokasi.
Katanya, setibanya di lokasi, pengadu memaklumkan mereka pada awalnya hanya berbual mengenai keadaan atap rumah sebelum rakannya menyedari pergerakan mencurigakan pada kain siling.
“Apabila disuluh, mereka nampak bayang seekor ular dan terus menghubungi pihak APM untuk bantuan.
“Dua anggota lengkap memakai PPE kemudian melakukan penilaian sebelum menggunting kain siling bagi memudahkan kerja menangkap ular berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, ular jenis senduk sembur (spitting cobra) sepanjang kira-kira satu meter dan seberat 500 gram itu berjaya ditangkap menggunakan penyepit serta ‘hook’ khas.
“Operasi tamat pada jam 5.16 petang dan ular berkenaan berjaya dibawa keluar dengan selamat.
“Tiada mangsa cedera, namun penghuni rumah terutama kanak-kanak sempat panik sebaik menyedari reptilia berbisa itu berada betul-betul di atas siling rumah mereka,” katanya. – Info X