Search

Cuba larikan 3,000 liter diesel, bot dipintas APMM

May 14, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) melarikan kira-kira 3,000 liter minyak diesel disyaki diseleweng gagal apabila dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Gaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, bot ronda Banggi 09 yang menjalankan Op Khas Cegah PATI (OCP) Sektor Timur, Op Tiris 4.0 dan Op Sejahtera mengesan sebuah bot kargo berwarna biru dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, suspek dipercayai bertindak memecut laju sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa bagi mengelak diperiksa.

“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas dan kecekapan anggota operasi, bot terbabit berjaya dipintas pada kedudukan 7.5 batu nautika barat laut Pulau Gaya.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebuah tangki yang diubah suai dan diisi cecair disyaki minyak diesel dengan anggaran kapasiti kira-kira 3,000 liter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu hasil risikan serta pemantauan berterusan Maritim Malaysia di kawasan hotspot yang dikenal pasti aktif dengan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan bahan bersubsidi.

Katanya, seorang tekong bersama tiga awak-awak turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan muatan bahan api berkenaan.

“Turut dirampas sebuah bot nelayan tempatan, enjin Mitsubishi 85HP, pam air jenama Asuka serta beberapa dokumen peribadi dan lesen bot.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM58,000,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63 sebelum semua suspek bersama bot ditunda ke Jeti Kem Azumi untuk tindakan lanjut.

Katanya, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan permit atau menjalankan aktiviti penyeludupan di perairan negara. – Info X