Search

Lelaki maut, lori terjunam ke gaung

May 15, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Seorang pemandu lori maut selepas lori muatan batu dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Kampung Taliduson, Pitas, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa Sudirman Shamsul, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 4.40 petang sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) bergegas ke lokasi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu lori Nissan Rigid Dumper membawa muatan batu sedang dalam perjalanan dari tapak Kuari Lo Kui Foh menuju ke kawasan memproses batu di Kampung Salimpodon, Pitas.

Superintendan Simiun Lomudin.

“Ketika melalui jalan menuruni bukit, lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam gaung di bahu kanan jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.57 malam oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Pitas.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pitas untuk proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – Info X