KOTA MARUDU: Seorang mekanik maut selepas dipercayai terjatuh ke bawah jambatan apabila kereta dipandunya terbabas dalam kejadian di Jambatan Jalan Kampung Masin, Pitas, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa Beriuse Masikah, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan pada jam 1.50 pagi sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dikejarkan ke lokasi.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Mitsubishi Mirage sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Kanibongan menuju ke Kampung Narandang, Pitas.

“Ketika melalui jalan lurus dan gelap di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di atas jambatan kayu.
“Mangsa dipercayai cuba keluar dari kenderaan namun terjatuh ke bawah jambatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 2.45 pagi oleh pegawai perubatan Hospital Pitas.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pitas untuk proses bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – Info X