KUDAT: Dua stor musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Taman Pakka 3, di sini, pagi tadi, manakala dua rumah berhampiran hanya mengalami kerosakan kecil.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu, kebakaran turut memusnahkan sebuah Perodua Kancil yang berada berhampiran lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Pegawai Penguasa Bomba Darickson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan 14 anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak membakar dua setor jenis tidak kekal berkeluasan 35×50 kaki sehingga musnah 100 peratus.
“Dua rumah jenis separuh kekal berhampiran turut terkena bahang kebakaran namun hanya mengalami kerosakan sekitar 10 peratus.

“Sebuah kereta jenis Perodua Kancil turut terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera.
Katanya, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Air Kudat, polis dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan api berjaya dikawal pada jam 10.07 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.25 tengah hari,” katanya. – Info X