KUDAT: Sebanyak 18 tong berisi petrol dipercayai cuba diseleweng ditemukan terapung di muara sungai Kampung Pagason, Pitas dalam Op Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam.
Rampasan membabitkan 3,600 liter petrol bernilai RM7,164 itu diserahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Kudat untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ketua Cawangan KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, rampasan tanpa tuan (RTT) itu diserahkan Kompeni C Batalion 16 PGA Kudat selepas bahan api berkenaan ditemui di kawasan muara sungai terbabit.

“Sebanyak 18 tong drum plastik dengan kapasiti anggaran 200 liter setiap satu dijumpai terapung di kawasan muara sungai Kampung Pagason.
“Kegiatan itu dipercayai dilakukan di kawasan terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selain menyembunyikan aktiviti penyelewengan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, KPDN Kudat turut merakamkan penghargaan kepada PGA atas kerjasama strategik serta tindakan proaktif dalam menjayakan Op Tiris 4.0 (Bersepadu).

Katanya, KPDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan kekal terjamin dan sampai kepada golongan sasaran.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak KPDN melalui saluran rasmi yang disediakan,” katanya. – Info X