KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) memberi penjelasan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) berhubung isu kenaikan bil elektrik, di ibu pejabat unit itu di Menara Kinabalu, di sini, pada Jumaat.
Penjelasan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar kepada pegawai UPPM dan PPM yang hadir, termasuk pengarahnya, Datuk Awang Kadin Tang.
Program libat urus itu dihadiri PPM dari beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Papar.
Awang Kadin berkata, program itu turut menjadi platform untuk bertukar pandangan, berkongsi maklumat semasa dan membincangkan isu serta cabaran di peringkat akar umbi supaya tindakan susulan dapat diambil secara lebih tersusun dan menyeluruh.
“Selain itu, Sabah Electricity juga memberikan penjelasan berkenaan isu kenaikan bil yang sedang tular dan wang cagaran serta faktor kenaikan bil elektrik.
“Sabah Electricity juga menjelaskan menambahbaik aplikasi mySE+, ini mencerminkan usaha berterusan syarikat itu dalam menyediakan platform digital yang lebih responsif, mudah digunakan dan memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

Pada sesi itu, Awang Kadin menekankan kepentingan kerjasama erat dan komitmen semua pegawai serta PPM dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan negeri dapat diterjemahkan secara efektif kepada rakyat.
Sesi soal jawab yang berlangsung pada akhir program turut memberi ruang kepada pemimpin komuniti untuk membincangkan isu-isu semasa yang sering dibangkitkan oleh masyarakat setempat.
Awang Kadin menyeru semua pihak agar terus memperkukuh semangat kerja berpasukan dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan masing-masing.
Program itu diadakan bagi memperkukuh koordinasi dan penyelarasan sesi libat urus Sabah Electricity bersama UPPM Sabah, khususnya dalam memastikan pelaksanaan program pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lebih berkesan. – Info X