BEAUFORT: Bapa kepada Jude Angel yang hilang di Kampung Saliwangan Baru, Batu 66, dekat sini, sejak Sabtu lalu, masih yakin anak perempuannya itu masih ada.
Jeremy Sundang, 39, berkata, dirinya gagal menahan sebak apabila mengenangkan nasib anak perempuannya namun masih menaruh harapan besar Angel masih hidup sehingga ke hari ini.
“Walaupun dimaklumkan operasi mencari dan menyelamat bakal berakhir esok namun kami sekeluarga tetap meletakkan harapan dapat bertemu Angel.
“Sebagai bapa, jauh di sudut hati saya Angel masih hidup,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Terdahulu, Jude Angel berusia 18 bupa dikatakan hilang selepas keluar daripada rumah keluarganya di Kg Saliwangan Baru, Batu 66, Beaufort dalam kejadian pada Sabtu lalu.
Kehilangan kanak-kanak itu turut menjadi tular di laman sosial dengan operasi pencarian melibatkan pasukan polis, bomba, RELA, APM dan penduduk kampung.
Dalam pada itu, ditanya sama ada terdapat sebarang petanda atau petunjuk terkini, Jeremy memaklumkan tiada perkara pelik berlaku.
“Bagaimanapun, Angel kelihatan agak manja sebelum saya ke tamu untuk berniaga pada hari kejadian.
“Dia juga ada meminta dukung dan naik ke atas badan saya yang kemudiannya meminta didodoikan sehingga tertidur,” katanya. – Info X