Search

Lori bawa barang kawalan tanpa permit, lelaki ditahan PPM

May 15, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Cubaan seorang lelaki membawa pelbagai barang kawalan tanpa permit sah terbongkar selepas lori dipandunya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di kawasan Kampung Klias, Jalan Bypass, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lelaki warga tempatan berusia 52 tahun berkenaan ditahan selepas didapati gagal mengemukakan permit membeli, membawa dan menyimpan minyak petrol yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan dijalankan sepasukan anggota PPM terhadap lori terbabit yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori itu membawa pelbagai barang kawalan disyaki disimpan dan dibawa tanpa kebenaran sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Antara barang yang ditemui ialah tong gas petroleum cecair (LPG), gula pasir jenama Prai, minyak masak jenama Rusa Terbang, minyak masak jenama Udang Emas serta minyak petrol,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, susulan itu pihak polis menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, semua barang kawalan berkenaan turut dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM9,218.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan demi keselamatan negara. – Info X