Search

Penunggang maut motosikal dipercayai lawan arus

May 16, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di kilometer (km) 20, Lebuhraya Pan Borneo, Papar – Kota Kinabalu, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara terbabit sedang bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Beaufort.

Katanya, sebuah motosikal dari arah bertentangan kemudian dipercayai masuk ke laluan kenderaan terbabit secara tiba-tiba.

“Pemandu pacuan empat roda cuba mengelak namun gagal disebabkan jarak terlalu dekat sebelum berlaku perlanggaran.

“Keadaan cuaca ketika kejadian dilaporkan hujan lebat dan permukaan jalan juga basah,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal saksi awam di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai melawan arus sebelum kemalangan berlaku.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Papar, Inspektor EL Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-8813880 atau hadir ke balai polis berhampiran.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati terutama ketika cuaca buruk dan hujan lebat selain mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Elakkan melakukan tindakan berbahaya termasuk memotong secara melulu atau melawan arus kerana ia boleh mengancam nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X