SANDAKAN: Dua lelaki tempatan ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Mabuk yang dijalankan di Batu 4, Jalan Utara, di sini, awal pagi tadi.
Operasi berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan membabitkan seorang pegawai kanan bersama 11 anggota.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, operasi itu dijalankan susulan maklumat dan aduan diterima daripada orang awam.
Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun serta denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.
“Pesalah juga boleh hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi itu dijalankan, sebanyak 14 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Menurutnya, pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap semua pengguna jalan raya bagi memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan lalu lintas selain mengesan kesalahan lain.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta tidak memandu di bawah pengaruh alkohol demi keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X