RANAU: Kegiatan mencuri kabel telekomunikasi di sebuah pencawang di daerah ini terbongkar selepas seorang lelaki berjaya diberkas polis dalam serbuan di sebuah premis biliard di pekan Ranau, semalam.
Suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ranau yang diketuai Inspektor Askandal Madin.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat dan risikan susulan laporan kehilangan kabel di pencawang CelcomDigi di Ranau.
Katanya, pengadu yang juga juruteknik berusia 30 tahun mendapati enam unit wayar DC sepanjang 70 meter dan enam unit CPRI hilang ketika melakukan pemeriksaan di kawasan pencawang berkenaan pada jam 2 petang, 16 Mei lalu.
“Akibat kejadian itu, syarikat mengalami kerugian dianggarkan RM5,000 sebelum laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek di sebuah kedai biliard di Bangunan Koisaan, Pekan Ranau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah termasuk sebuah kereta, dua gulung kabel telekomunikasi, alat pemotong besi dan wayar, pisau, tali kanvas serta peralatan keselamatan badan.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kes curi dan
penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. – Info X