Search

Dua cedera diserang guna sabit, kapak ketika beli minuman

May 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Niat sekumpulan lelaki membeli minuman di kawasan jambatan berhampiran Blok C, Kampung Sembulan Lama, di sini, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka cedera diserang menggunakan senjata tajam, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kedua-dua mangsa bersama beberapa rakan dikatakan berada di lokasi berkenaan sebelum berlaku salah faham dengan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai “Totong”.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, susulan perselisihan itu, berlaku pertengkaran sebelum suspek dipercayai pulang ke rumah untuk mengambil senjata tajam dipercayai sabit dan kapak.

“Suspek kemudian kembali semula ke lokasi kejadian sebelum menyerang kedua-dua mangsa menggunakan senjata berkenaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa pertama mengalami kecederaan di bahagian belakang leher dan kaki, manakala mangsa kedua cedera di bahagian leher serta lengan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, polis sudah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian selain merakam percakapan pengadu dan beberapa saksi bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek yang dikenali sebagai ‘Totong’ sedang giat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu. – Info X