Search

PPM Sabah tumpas kegiatan pindah diesel bersubsidi

May 18, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Kegiatan memindahkan minyak diesel bersubsidi secara haram terbongkar selepas dua lelaki diberkas dalam operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Team Task Force Balai Polis Siguntur di Jalan Weng Sing, Sungai Manila, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 1.20 petang itu, seorang lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia ditahan ketika dipercayai sedang menjalankan aktiviti pemindahan diesel bersubsidi tanpa kebenaran.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada rampasan sebuah lori bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan termasuk skid tank dan peralatan pemindahan minyak.

Katanya, sebanyak 14,200 liter minyak diesel berjaya dirampas dengan nilai dianggarkan RM69,154 sekiranya dijual di pasaran gelap.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori, skid tank, peralatan dan minyak diesel dianggarkan bernilai lebih RM194,354.

“Kedua-dua suspek turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan semua barang kes dirampas untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan yang boleh memberi kesan kepada ekonomi serta keselamatan negara.

“Orang ramai diseru terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan kepada pihak polis bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X