SANDAKAN: Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Fook Hin, Batu 12, di sini, malam ini.
Mangsa dikenali sebagai Nicole, 84, ditemukan di ruang tamu rumah jenis separuh kekal dua tingkat yang musnah sepenuhnya dalam kejadian berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penguasa Kanan Bomba Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.38 malam sebelum sepasukan 13 anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9 malam dan mendapati rumah berkeluasan 40×80 kaki persegi itu sudah terbakar 100 peratus.
“Terdapat seorang mangsa wanita warga emas dilaporkan terperangkap di dalam rumah.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa selain melakukan pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera water tanker,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Menurutnya, operasi berjaya dikawal pada jam 9.35 malam sebelum mangsa berjaya ditemui pada jam 10.44 malam di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.
Turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, katanya setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – Info X