Search

MARA PANTAU ASET LUAR NEGARA

July 13, 2022

admin

PENAMPANG: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil langkah berjaga-jaga dengan merujuk peguam dilantik dalam usaha memastikan semua aset agensi itu di luar negara tidak dijadikan sasaran waris kesultanan Sulu.

Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, ia berikutan tindakan pihak berkenaan yang melakukan rampasan ke atas dua aset anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan susulan keputusan Mahkamah Timbang di Perancis yang memerintahkan Malaysia membayar pampasan RM AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) pada awal tahun ini.

“Kita akan memerhatikan perkembangan perkara itu kerana MARA juga mempunyai beberapa aset di luar negara.

“MARA sendiri baru mengetahui tentang perkara ini (rampasan pihak Sulu) tetapi kita akan pastikan pegawai MARA atau wakil di luar negara sentiasa menjaga aset kita.

“Selain itu, kita akan merujuk perkara ini dengan peguam kita untuk melihat perkembangan terkini,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan program usahawan MARA Canggih Go hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan aset MARA di luar negara berkemungkinan menjadi sasaran rampasan wakil waris kesultanan Sulu.

PETRONAS semalam mengesahkan aset dua anak syarikatnya di Azerbaijan, PETRONAS Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan PETRONAS South Caucasus S.à.r.l menerima notis ‘Saisie-arret’ daripada peguam dilantik waris kesultanan Sulu.

Terdahulu menerusi laporan sebelum ini, rampasan itu dikatakan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. – Info X