Search

Polis tahan lelaki disyaki tampar, pijak anak saudara

May 18, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai menampar dan memijak anak saudaranya berusia tiga tahun hingga mengalami kecederaan dalam kejadian di kawasan perkampungan Batu 5, Jalan Apas, di sini, semalam.

Suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Strike Team Balai Polis Tawau bersama anggota Pondok Polis Kawasan (PPK) Kinabutan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan MRSM, Batu 5, Jalan Apas kira-kira jam 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa dipercayai mengalami kecederaan pada telinga kanan serta bengkak di bahu kiri akibat kejadian berkenaan.

Katanya, kejadian itu disedari bapa mangsa kira-kira jam 1 petang sebelum tampil membuat laporan polis kerana bimbang terhadap keselamatan anak serta keluarganya.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana disyaki dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis memandang serius sebarang bentuk keganasan terhadap kanak-kanak dan orang ramai diminta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki berlaku penderaan atau pengabaian.

“Kerjasama masyarakat penting bagi memastikan keselamatan serta kebajikan kanak-kanak sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X