Search

12 kedai terbakar, wanita cedera cuba selamat barang

May 19, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Sebanyak 10 daripada 12 pintu kedai runcit musnah dalam kebakaran membabitkan sederetan premis tidak kekal di Kampung Tintingan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.12 pagi itu, seorang wanita berusia 40-an dilaporkan melecur di bahagian pergelangan tangan kiri selepas dipercayai cuba menyelamatkan barangan ketika kebakaran berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan 19 anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi pada jam 2.20 pagi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan sederetan kedai jenis tidak kekal berkeluasan 300 x 60 kaki persegi.

“Kebakaran membabitkan 12 pintu kedai dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus.

“Sebanyak 10 pintu kedai musnah terbakar manakala dua lagi berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas anggota bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan empat pancutan menggunakan sumber air daripada jentera tanker dan pili bomba berhampiran.

Katanya, mangsa yang melecur diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Komuniti Kampung Tintingan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.39 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.12 pagi,” katanya.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – Info X