KOTA KINABALU: Lebih 20 penduduk kampung bergabung tenaga menangkap seekor buaya seberat kira-kira 300 kilogram (kg) yang dipercayai sering muncul di kawasan pantai berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS), pagi ini.
Reptilia sepanjang hampir 3.7 meter itu ditangkap berhampiran kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas dikesan berada kira-kira 100 meter dari pesisir pantai.
Penduduk kampung menggunakan tiga perahu dan pukat ikan untuk menangkap buaya terbabit, namun dua cubaan awal gagal sebelum mereka berjaya menangkap reptilia pada percubaan ketiga.
Difahamkan, buaya itu sering dilihat timbul di kawasan pantai UMS sejak beberapa minggu lalu sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pengunjung.
Menggunakan strategi mengepung dengan pukat ikan, penduduk kampung akhirnya berjaya menarik reptilia ganas itu naik ke darat sebelum keadaan dikawal.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.02 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota diketuai Leftenan Muda (PA) Umi Kifli kemudian digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan kawalan keselamatan selain membantu menangkap semula buaya berkenaan menggunakan peralatan khas.
“Pasukan operasi bersama penduduk kampung turut terpaksa memikul buaya itu sejauh kira-kira 500 meter menaiki bukit untuk dibawa keluar dari kawasan pantai.
“Buaya berkenaan kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Unit Sulaman sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X