KOTA KINABALU: Terminal Feri Jesselton Point siap dinaik taraf di lokasi baharu seiring dengan statusnya sebagai prasarana strategik yang bakal menjadi pemangkin utama pembangunan industri pelancongan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kemudahan yang lebih selesa itu sejajar dengan kedudukan Terminal Feri Jesselton Point yang mencatat peningkatan penumpang pada 2025 kepada seramai 552,369 orang, berbanding 388,395 orang pada 2024.
“Dalam konteks ini, Terminal Feri Jesselton Point memainkan peranan signifikan dalam memperkukuh penawaran pelancongan, khususnya segmen pelancongan berasaskan pulau dan marin yang menjadi antara produk utama pelancongan teras negeri terutamanya di Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya,” katanya pada majlis perasmian Terminal baharu feri Jesselton Point, di sini, pada Isnin.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata, penaiktarafan terminal feri itu mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa dan diperkasakan melalui integrasi sistem digital serta operasi fizikal yang lebih cekap, teratur dan berkesan.
Jelasnya, pelaksanaan sistem tiket elektronik, pengurusan penumpang secara bersepadu dan penggunaan teknologi pintar dalam operasi harian mencerminkan peralihan ke arah konsep terminal pintar yang lebih moden dan responsif.
Beliau yakin terminal baharu itu mampu menampung peningkatan penumpang sesuai dengan ketibaan pelawat yang semakin meningkat berdasarkan rekod seramai 3.8 juta orang pada tahun lalu, iaitu peningkatan lebih 20 peratus berbanding tahun sebelumnya dan menjana RM8.7 billion hasil pelancongan.

“Sejak lebih dua dekad yang lalu, Terminal Feri Jesselton Point memainkan peranan penting sebagai laluan utama ke pulau-pulau peranginan di Taman Tunku Abdul Rahman, sebuah khazanah alam yang menjadi kebanggaan negeri serta tarikan utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa.
“Terminal ini bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, malah berfungsi sebagai mercu tanda penting bandar raya Kota Kinabalu, yang menghubungkan pengunjung ke gugusan pulau seperti Manukan, Gaya, Sapi dan Mamutik serta pulau-pulau sekitarnya.
“Ini sekali gus memperkukuh peranan bandar raya ini sebagai salah satu hab pelancongan maritim utama negara,” katanya.
Ketua Menteri berkata, beliau yakin, dengan adanya terminal yang selesa itu dapat meningkatkan keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa untuk berkunjung ke pulau-pulau pelancongan yang ada di sekitar ibu negeri.
“Ini secara langsung akan merancakkan ekonomi setempat, membuka peluang perniagaan dan meningkatkan taraf hidup penduduk. Usaha ini juga sudah pasti akan membantu dalam mencapai sasaran lebih empat juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya.
Katanya, sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun ini, pembangunan baharu infrastruktur Terminal Feri Jesselton Point dapat memperkukuh lagi kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan maritim utama di rantau ASEAN.
Jelasnya, pembangunan terminal itu selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi, pemerkasaan ekonomi biru dan pelancongan mampan sebagai antara teras utama kemajuan negeri.
“Inisiatif ini sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh lagi kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan maritim yang berdaya saing dan maju.
“Kerajaan negeri komited dalam memastikan pembangunan ini dilaksanakan secara bertanggungjawab, seiring dengan pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat agar kemajuan yang dicapai adalah menyeluruh,” katanya.
Selain itu, katanya Terminal Feri Jesselton Point juga terletak di kawasan pembangunan Jesselton Waterfront City bernilai RM9.2 bilion yang bakal membentuk landskap baharu pesisir Kota Kinabalu sebagai destinasi bertaraf dunia.
Beliau mengucapkan syabas kepada Suria Capital Holdings Berhad serta anak syarikatnya, Suria Bumiria Sdn Bhd atas komitmen dan dedikasi dalam merealisasikan projek terminal feri itu.
“Kejayaan hari ini mencerminkan kesepaduan antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta amat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri ini,” katanya. – Info X