Search

Tokoh korporat, ADUN, Ketua Setiausaha Politik terima pingat

May 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 151 individu menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Sabah yang dikurniakan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Istiadat dimulakan dengan pengurniaan darjah kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima kepada tokoh korporat industri minyak dan teknologi, Datuk Seri Panglima Abdul Farish Abdul Rashid.

Ia kemudian disusuli penerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk dengan dimulai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa, diikuti 22 penerima lain.

Turut menerima PGDK ialah Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim; Pengurus Besar Ko-Nelayan, Datuk Yusof Ag Besar; Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam, Kementerian Kewangan, Datuk Alan Abdul Rahim.

Tun Musa turut mengurniakan darjah Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) kepada 19 individu antaranya, Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki dan Pengarah Pengambilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ak Ashaari Ak Yussof.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Sandakan Komander Maritim, Ahmad Firdaus Shaari dan Ketua Pegawai Operasi Sri Pelancongan Sabah, Fidelis Francis Andam antara penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK).

Dalam pada itu, seramai 33 individu dianugerahkan Bintang Setia Kinabalu (BSK), diikuti 29 individu menerima darjah Bintang Kinabalu (BK) dan seramai 12 individu dikurniakan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT).

Hadir sama ialah Menteri Belia, Sukan dan Industri Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceaser Mandela Malakun.

Istiadat itu bersempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang Tun Musa. – Info X