LAHAD DATU: Seramai 112 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing ke Negara Asal melalui Pelabuhan Lahad Datu, hari ini.
Semua tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi kenyataan malam ini berkata, kumpulan PATI itu terdiri daripada 63 lelaki dewasa, 34 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun.
Menurut kenyataan itu, semua kanak-kanak yang menyertai program berkenaan turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
“Sehingga hari ini, seramai 1,947 tahanan PATI warga Filipina sudah dipindahkan ke negara asal daripada keseluruhan 3,085 tahanan warga asing yang dihantar pulang.
“Kesemua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan selain memiliki dokumen perjalanan sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan,” katanya.
Dalam pada itu, JIM Sabah turut mengingatkan majikan supaya menyertai program pendataan digital warga asing yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah menerusi Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S).
Menurutnya, inisiatif itu dijangka membantu mengurus dan merekod keberadaan pekerja asing sekali gus mengekang isu lambakan PATI serta masalah dokumentasi di negeri ini.
“JIM Sabah akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.
“Majikan boleh dikenakan hukuman berat mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan,” katanya. – Info X