KOTA BELUD: Lima individu yang terkandas di seberang sungai di Kampung Melangkap, di sini, berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas operasi mencabar yang mengambil masa hampir 13 jam, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat namun gagal menyeberangi sungai berikutan arus deras selepas hujan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomna Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.48 petang semalam.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera bomba dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai.
“Setiba di lokasi pada jam 6.33 petang, pasukan bomba dimaklumkan mangsa berada di seberang sungai namun gagal keluar berikutan arus deras.
“Pasukan kemudian menyusuri tebing sungai sebelum berjaya menemui semua mangsa kira-kira jam 12.45 tengah malam pada jarak hampir lima kilometer dari jalan utama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi turut berdepan pelbagai kesukaran termasuk laluan berbukit dan curam selain keadaan gelap selepas lampu suluh pasukan kehabisan cas.

Katanya, ketiadaan liputan GIRN dan talian telefon juga menyukarkan komunikasi sepanjang operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
“Semua mangsa berjaya dibawa keluar ke kawasan selamat bermula jam 5.50 pagi dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, lima individu dilaporkan terperangkap di seberang sungai di Kampung Melangkap selepas gagal menyeberangi sungai akibat arus deras. – Info X