Search

Suspek utama kes pengedaran dan rampasan dadah di Kota Kinabalu dikehendaki JSJN Sabah

May 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Sabah sedang giat memburu seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kes pengedaran dadah di Ibu negeri ini selepas dipercayai melarikan diri ke Sarawak.

Suspek Eric Leon Frankey, 27, yang beralamat terakhir di Taman Sri Kepayan, di sini, dikesan berada di negeri jiran itu selepas kenderaan dipercayai digunakan suspek ditemukan di Lawas, Sarawak pada 12 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah kini bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak bagi mengesan keberadaan suspek terbabit.

Menurutnya, suspek dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan satu kes dadah yang dilaporkan di Penampang dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di Sabah.

“Usaha mengesan suspek sedang dipergiat dan polis tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit masih bergerak aktif bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu, dalam notis yang dikeluarkan JSJN Sabah, lelaki terbabit dikehendaki bersabit kes bernombor Penampang/000821/2026.

Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Jocelyn Merlyn Anak Sampar dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki terbabit supaya tampil membantu siasatan.

Orang ramai boleh menghubungi talian 088-454650, 088-454222 atau terus menghubungi pegawai penyiasat di talian 012-8401695.

Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran. – Info X