Search

Operasi empat hari JPJ kesan 108 kes lebih muatan di Sabah

May 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 108 kesalahan lebih muatan dikesan dalam tempoh empat hari Ops Khas Lebih Muatan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah bermula 16 hingga 20 Mei lalu.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 1,530 kenderaan diperiksa di seluruh negeri dengan 259 kenderaan perkhidmatan barangan diambil tindakan.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi khas itu dilaksanakan secara lebih drastik dan bersasar bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan.

Menurutnya, operasi berkenaan turut bertujuan memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya selain membantu kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam.

“Sepanjang operasi dijalankan, tiada arahan sekatan perjalanan dikenakan terhadap kenderaan perkhidmatan barangan.

“Bagaimanapun, semua pengusaha kenderaan perkhidmatan barangan dinasihatkan supaya mematuhi syarat permit yang ditetapkan dan tidak membawa lebihan muatan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, kesalahan membawa lebih muatan adalah pelanggaran Seksyen 19(1)(b)(vi) Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (ALPKP) 1987 dan Kaedah 89 C&U 1989.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, bagi memperkukuhkan penguatkuasaan Ops Khas Lebih Muatan di Sabah, enam stesen penguatkuasaan timbang statik dan tiga alat timbang mudah alih digunakan sepenuhnya bagi mengenal pasti pelanggaran had muatan.

Sementara itu katanya, statistik kesalahan lebih muatan di Sabah menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak 1,180 kes direkodkan pada 2024 sebelum meningkat kepada 3,350 kes tahun lalu.

“Setakat April tahun ini, sebanyak 761 kes lebih muatan direkodkan dengan 76 kes sudah dihadapkan ke mahkamah.

“Dalam tempoh Januari hingga April tahun ini juga, sebanyak 204,503 kenderaan diperiksa menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan di seluruh negeri.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 18,688 kenderaan persendirian diambil tindakan, diikuti 5,256 kenderaan perkhidmatan barangan dan 573 kenderaan perkhidmatan awam,” katanya.

Katanya, tiga kesalahan utama direkodkan membabitkan cukai jalan tamat tempoh dengan 10,655 kes, tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh sebanyak 10,095 kes serta tiada perlindungan insurans sebanyak 7,326 kes.

Selain penguatkuasaan katanya, JPJ Sabah turut melaksanakan pelbagai program advokasi keselamatan jalan raya menerusi Kempen “Pandu Cermat, Sampai Selamat”.

Program advokasi berkenaan merangkumi lebih 50 aktiviti termasuk pameran, ceramah kesedaran, edaran kit keselamatan jalan raya serta kerjasama bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sabah dan rakan strategik termasuk pihak media. – Info X