TONGOD: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar akan memanggil pihak pemaju projek ternakan khinzir di Tongod pada 8 Jun depan bagi membincangkan serta mengenal pasti punca kelewatan pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas meninjau sendiri tapak projek berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas menghadiri Pesta Kaamatan Tongod, pada Rabu.
Menurutnya, projek yang diputuskan kerajaan pada 2022 itu bertujuan memusatkan aktiviti penternakan khinzir di Sabah di satu lokasi khusus selain memastikan aspek pengurusan, kawalan dan sensitiviti masyarakat dapat ditangani dengan lebih baik.
Jamawi berkata, kerja-kerja infrastruktur asas termasuk jalan raya, pagar serta utiliti di kawasan projek itu sudah hampir siap sepenuhnya dan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah.
“Prasarana dan utiliti disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan saya ingat sudah lebih kurang 80 peratus siap termasuk pagar.
“Kita cuma ada masalah dengan pihak pemaju dan melihat bagaimana supaya projek ini dapat dilaksanakan,” katanya ketika meninjau tapak projek berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah menghubungi Pengarah DVS Sabah yang memaklumkan pemaju ketika ini sedang dalam proses tender bagi menyiapkan kandang moden yang dirancang di kawasan tersebut.
Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak menolak kemungkinan mencari pemaju lain sekiranya syarikat sedia ada tidak berminat atau gagal meneruskan pelaksanaan projek berkenaan.
“Kalau pemaju tidak mahu, kita boleh cari pemaju lain kerana ramai lagi yang berminat untuk masuk ke kawasan ini,” katanya.
Jamawi berkata, kawasan berkenaan dipilih kerana lokasinya jauh daripada kawasan kediaman dan penempatan penduduk selain mempunyai persekitaran yang sesuai bagi pembangunan industri penternakan berskala besar.
Katanya, projek itu juga bakal menggunakan teknologi moden dan mematuhi piawaian tempatan serta antarabangsa termasuk aspek alam sekitar dan sensitiviti masyarakat majmuk di Sabah.
“Kawasan ini dipilih kerana jauh daripada kediaman dan penempatan selain alam sekitar yang terjaga.
“Pelbagai teknologi moden juga akan digunakan di sini,” katanya.
Beliau berkata, kawasan projek itu melibatkan keluasan kira-kira 200 ekar dan berpotensi menempatkan sehingga dua juta ternakan khinzir apabila beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya, pengoperasian projek itu kelak bukan sahaja bertujuan memenuhi permintaan pasaran tempatan, khususnya masyarakat bukan Islam di Sabah, malah berpotensi menjadi sumber eksport ke luar negara.
Katanya, kawasan itu juga akan menjadi pusat utama penternakan khinzir di negeri ini dan pewartaannya dibuat bagi mengelakkan aktiviti sama berkembang di kawasan lain yang berisiko menimbulkan isu sensitiviti.
“Saya lebih suka melihat segala perancangan kerajaan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, teratur dan sesegera mungkin.
“Itu komitmen kita di bawah kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah,” katanya. – Info X