LABUAN: Kegiatan penyimpanan minyak diesel tanpa kebenaran di sebuah rumah di Kampung Tanjung Aru, di sini, terbongkar selepas diserbu dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam.
Serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan dengan kerjasama Polis Daerah Labuan hasil risikan dijalankan Unit Risik KPDN WP Labuan.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, operasi turut mendapat bantuan anggota dari Balai Polis Lubuk Temiang.
Katanya, pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan tiga tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi cecair disyaki minyak diesel.
“Pasukan serbuan turut menemui tiga pam elektrik lengkap bersama hos, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tangki tambahan kenderaan yang dipercayai digunakan untuk memindahkan barang kawalan itu.
“Jumlah keseluruhan minyak diesel yang ditemui di lokasi dianggarkan sebanyak 2,870 liter,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, ketika operasi dijalankan tiada individu ditemui di lokasi dan premis itu dipercayai hanya dijadikan tempat persinggahan serta penyimpanan sementara minyak diesel sebelum dipindahkan ke lokasi lain.
Beliau berkata, semua barang kes termasuk minyak diesel disyaki barang kawalan itu disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM106,570.50.
“Kes disiasat kerana disyaki memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran sah,” katanya.
Junaidah berkata, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Katanya, bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, beliau berkata KPDN memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan termasuk penyimpanan, pemindahan dan penjualan tanpa kebenaran sah.
“KPDN akan terus mempergiat operasi dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang cuba mengambil kesempatan terhadap barang kawalan bersubsidi sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – Info X