Search

Penemuan mayat terapung di Pulau Gaya, lelaki tempatan didakwa membunuh

May 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan didakwa di Mahkamah kerana membunuh, susulan penemuan mayat seorang lelaki yang terapung di perairan Kampung Lobong, Pulau Gaya, awal bulan ini.

Ali Bin Daham, 48, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas berjaya diberkas polis pada 7 Mei lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana kes berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kejayaan penahanan suspek adalah hasil operasi bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kota Kinabalu bersama IPD Lahad Datu menerusi “Op Kejam / Op Kesan”.

Katanya, suspek berjaya ditahan ketika menaiki sebuah bas di Terminal Bas Reno Fajar, Lahad Datu.

“Kes ini membabitkan penemuan mayat lelaki tidak dikenali di perairan Kampung Lobong, Pulau Gaya pada 5 Mei lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menikam mangsa beberapa kali menggunakan sebilah pisau sebelum mengikat kaki mangsa dan membuangnya ke laut berhampiran rumah suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan kehilangan barang milik keluarga suspek.

Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang ditemukan di dasar laut berhampiran lokasi kejadian dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“PDRM merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi ini termasuk orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga kes berjaya diselesaikan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Kes itu dikendalikan ASP Lapaula Abd Muis sebagai pegawai penyiasat.

Tertiduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. – Info X