Search

Intai wanita mandi, lelaki dicekup polis

May 22, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan seorang lelaki dipercayai menghendap seorang wanita yang sedang mandi di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gudang 4, di sini, membawa padah apabila dia diberkas polis, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan menyedari kelibat seorang lelaki tidak dikenali yang sedang mengintainya ketika berada di dalam bilik mandi rumah berkenaan sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau bersama Balai Polis Bombalai berjaya mengesan suspek.

Katanya, suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun itu kemudian ditahan bagi membantu siasatan.

“Dalam serbuan dijalankan, polis turut merampas sehelai baju dan seluar yang dipercayai dipakai suspek ketika melakukan perbuatan menghendap itu.

“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan. – Info X