Search

Pekerja ladang maut motosikal masuk laluan bertentangan

May 22, 2026

Info X Reporters

RANAU: Seorang pekerja ladang sawit warga Filipina maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Viva di KM23 Jalan Ranau – Telupid, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa Mulfie Dela Calsada Gani, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Viva dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Ranau menuju ke Telupid.

Katanya, motosikal Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan dipercayai memasuki lorong kereta berkenaan sebelum berlaku pertembungan secara berhadapan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri manakala pemandu kereta juga tidak mempunyai rekod saman lampau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X