Search

Samseng kedai runcit akhirnya diberkas

May 22, 2026

Info X Reporters

RANAU: Lelaki yang dipercayai mengugut dan memukul seorang pemuda sehingga rakaman kejadian itu tular di media sosial dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Matupang, di sini, akhirnya diberkas polis, hari ini.

Suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ranau di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kejadian membabitkan mangsa lelaki berusia 19 tahun itu berlaku pada 19 Mei lalu ketika mangsa sedang membeli barangan dapur di sebuah kedai runcit.

Katanya, mangsa kemudian terserempak dengan suspek sebelum lelaki terbabit secara tiba-tiba memarahi mangsa tanpa sebab.

“Suspek dipercayai mengeluarkan buku lima berwarna keemasan sambil mengugut mangsa.

“Suspek kemudian bertindak menumbuk dan menendang mangsa hingga menyebabkan kecederaan di bibir selain sakit di bahagian belakang badan dan bahu kiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil saringan ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Semakan rekod lampau juga mendapati suspek pernah mempunyai rekod kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 2014.

“Suspek turut akan ditahan bagi membantu siasatan tiga lagi kes pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang masih dalam siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan manakala permohonan reman terhadap suspek akan dilaksanakan.

Terdahulu, rakaman video memaparkan kejadian suspek memukul mangsa tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen. – Info X