Search

37 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu

May 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 37 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu menerusi Ops Sapu, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Selera yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah bersama JIM Tawau di sekitar Kota Kinabalu dan Tawau.

Operasi berkenaan dijalankan sebagai sebahagian usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen di negeri ini.

Dalam operasi yang dijalankan di 17 premis sekitar Kota Kinabalu dan Tawau itu, seramai 190 individu diperiksa membabitkan warga tempatan serta warga asing bagi tujuan semakan dokumen dan status imigresen.

Hasil pemeriksaan mendapati seramai 37 individu disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dewasa dan 12 perempuan dewasa warga Filipina, selain tujuh lelaki dewasa warga Pakistan, tiga lelaki dewasa warga India serta lima perempuan dewasa warga Indonesia.

Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah, selain Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah membanteras kebanjiran PATI serta memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Menurut kenyataan itu, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang imigresen termasuk individu atau majikan yang melindungi serta menggaji warga asing tanpa dokumen sah.

JIM Sabah turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan.

Katanya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang khususnya membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman negara. – Info X