TAWAU: Cubaan menyeludup 3,300 liter minyak diesel dipercayai ke negara jiran berjaya dipatahkan dalam operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 di Kampung Merotai, Jalan Pitas, di sini, hari ini.
Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau hasil risikan dan pemantauan berterusan di kawasan perairan daerah berkenaan.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa merampas minyak diesel yang disimpan di dalam lapan tong drum besi dipercayai untuk tujuan penyeludupan.
Turut disita sebuah bot ‘skow’, sebuah bot tunda jenis tugboat, gulung hos sepanjang lima meter serta sebuah pam air 5 kuasa kuda (hp) yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pemindahan bahan api terbabit.
Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM16,401 manakala keseluruhan rampasan termasuk aset dan peralatan lain mencecah RM3.5 juta.

KPDN Tawau dalam kenyataan berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.
“KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan bersubsidi.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan dan penyeludupan,” katanya.
Menurutnya, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya jika sabit kesalahan. – Info X