Search

Lori tangki bawa diesel subsidi kantoi di tepi jalan

May 22, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan licik menyimpan 2,000 liter minyak diesel subsidi dalam sebuah lori tangki di tepi Jalan Kampung Aman, Tanjung Batu, di sini, terbongkar selepas dikesan pihak berkuasa, hari ini.

Rampasan itu hasil tindakan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk siasatan lanjut menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).

KPDN Tawau berkata, diesel berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran menggunakan lori tangki jenama Nissan berkapasiti 10,000 liter.

“Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM9,940 manakala keseluruhan nilai sitaan termasuk lori tangki berjumlah RM159,940.

“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, KPDN akan terus memperkukuhkan kerjasama bersama agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi di Tawau dan kawasan perairan sekitarnya. – Info X