TUARAN: Cubaan seorang lelaki melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis tidak berhasil apabila dia bersama rakannya dicekup dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di Taman Telipok Ria, di sini, malam tadi.
Dalam operasi jam 6.50 petang itu, pasukan JSJN IPK Sabah berjaya merampas 65.04 gram syabu bernilai RM3,252.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
Katanya, selepas hampir 15 minit menjalankan pemantauan, pasukan serbuan mengesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
“Menyedari kehadiran polis, salah seorang suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas dikejar anggota serbuan manakala seorang lagi suspek ditahan di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 65.04 gram dadah jenis syabu selain empat telefon bimbit pelbagai jenama dan sehelai seluar jeans pendek.
“Pemeriksaan di rumah salah seorang suspek turut menemukan wang tunai RM3,180 serta sebuah kereta Proton Preve berwarna hitam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek lelaki warga Filipina masing-masing berusia 35 dan 28 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan serta tinggal di Taman Telipok Ria.
“Antara pengakuan awal diperoleh mendapati suspek mendakwa dadah itu diperoleh daripada ahli keluarganya sebelum dijual dalam kuantiti kecil.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi di Telipok Ria dan tindakan agresif penguatkuasaan akan diteruskan bagi mengelakkan Telipok Ria dijadikan lokasi selesa pengedaran dadah setempat. – Info X