Search

Kawasan Ekologi Sensitif kekal dilindungi di bawah Pelan Induk Hutan – KM

May 23, 2026

Info X Reporters

SOOK: Kerajaan negeri memastikan Kawasan Ekologi Sensitif (ESA) sentiasa dilindungi di bawah Pelan Induk Hutan yang sedang dirangka sebagai garis panduan pengurusan sumber hutan Sabah bagi tempoh 25 tahun akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata inisiatif yang dilaksanakan menerusi Jabatan Perhutanan Sabah itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melaksanakan rasionalisasi guna tanah demi keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dan konservasi alam sekitar.

“Dengan tersedianya Pelan Induk Hutan ini kelak, Kerajaan Sabah akan memastikan semua Kawasan Ekologi Sensitif atau Ecological Sensitive Area (ESA) tetap dilindungi tanpa mengabaikan pembangunan sosio-ekonomi mampan untuk kesejahteraan rakyat Sabah.

“Perkara ini seiring dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0 yang antaranya menetapkan keperluan pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Sook, di sini, pada Sabtu.

Hajiji berkata, Kerajaan negeri juga sentiasa komited untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan negeri, selari dengan Dasar Hutan Sabah 2018.

Katanya, pada masa ini, Sabah masih mengekalkan 63 peratus kawasan litupan hutan negeri yang meliputi 3.85 juta hektar yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan lain.

“Bagi memperkasa pengurusan hutan negeri dan melindungi khazanah biodiversiti pula, Sabah komited untuk mengekalkan 2.2 juta hektar atau 30 peratus daripada keluasan negeri sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA),” katanya.

Hajiji berkata Sabah juga mengenal pasti sebahagian kecil kawasan hutan simpan yang merosot dengan keluasan lebih kurang 400,000 hektar untuk tujuan pembangunan ladang hutan seperti termaktub dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022 – 2036).

Katanya, pembangunan ladang hutan dilihat sebagai antara strategi untuk memulihkan produktiviti hutan yang merosot, selain mengurangkan kebergantungan industri perkayuan tempatan terhadap bekalan balak dari hutan asli dan memastikan sumber bekalan bahan mentah yang berkekalan.

Hajiji berkata, sebagai manifestasi terhadap keseimbangan pembangunan sosioekonomi dan perlindungan sumber asli, Kerajaan Sabah dengan kerjasama daripada United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF) akan mempelopori pelaksanaan Program Kesan-Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi (FOLUR IP).

“Program ini akan melibatkan Pengurusan Landskap Bersepadu meliputi keluasan 2.1 juta hektar. Ia akan menyelaras perancangan dan pengurusan guna tanah di Sabah bagi membendung kesan penghasilan minyak sawit, di samping mengekalkan kawasan konservasi hutan bernilai tinggi (HCVF) untuk faedah alam sekitar dan pembangunan.

“Program ini akan dilaksanakan di 12 daerah di Sabah dan dijangkakan akan memberi faedah kepada kira-kira 56,000 penduduk kawasan luar bandar,” katanya.

Pada acara yang sama, Hajiji diiringi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Kurup menyampaikan 1,136 geran tanah anak negeri (NT) bagi Parlimen Pensiangan dengan keluasan 2,303.84 hektar.

Daripada jumlah itu, 295.51 hektar adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Nabawan, manakala seluas 948.82 hektar lagi di kawasan DUN Tulid, diikuti 1,059.51 hektar bagi DUN Sook. – Info X