Search

Mangsa terkorban insiden bangunan runtuh di utara Filipina berasal dari Pitas

May 24, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan terkorban dalam insiden bangunan runtuh di Filipina pada Ahad dikenal pasti seorang ahli perniagaan berasal dari Pitas.

Memetik hantaran di Facebook Pitas Hari ini, mangsa dikenali sebagai Ng Lai Thau @ Dusun, seorang ahli perniagaan yang turut aktif dalam politik di Pitas.

Berdasarkan info yang dikongsikan Facebook Pitas Hari Ini, kematian mangsa akibat insiden itu disahkan anaknya.

Dalam insiden di bandar Angeles, Pampanga, utara Filipina pada jam 3 pagi Ahad, sebuah bangunan sembilan tingkat yang masih dalam pembinaan dilaporkan runtuh.

Sementara itu, laporan media antarabangsa menyatakan mangsa terkorban akibat terperangkap dalam sebuah hotel apartment yang terjejas akibat runtuhan bangunan terbabit.

Dilaporkan seramai 26 individu berjaya diselamatkan selepas bangunan sembilan tingkat itu runtuh, masing-masing seramai 24 orang dikeluarkan dari struktur bangunan yang runtuh itu, manakala dua lagi diselamatkan dari hotel apartmen berhampiran yang turut terjejas akibat insiden berkenaan.

Dalam pada itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan menyatakan simpati kepada semua pihak yang terkesan akibat insiden berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan warganegara yang selamat serta mengesahkan status dan keberadaan seorang lagi rakyat Malaysia yang terlibat.

“Pada masa yang sama, segala usaha sewajarnya sedang diambil bagi mengesan dan menghubungi waris kepada kedua-dua individu berkenaan,” katanya. – Info X