LABUAN: Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, pada Isnin, atas pertuduhan membunuh anak kandung berusia dua bulan setelah menjadi mangsa penderaan pada awal bulan ini.
Tertuduh, Azmi Amat, 37, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Dr Melissa Chia Pui Fung.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Superintendan Ruslan Tarai dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Labuan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Jun depan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Tertuduh seterusnya ditahan mengikut Seksyen 259 Kanun Keseksaan dan akan dihantar ke Penjara Kepayan di Kota Kinabalu sementara menunggu tarikh sebutan semula.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh disyaki mendera anak kandungnya yang berusia dua bulan selepas bayi perempuan itu dibawa ke Hospital Labuan pada awal bulan ini dan akhirnya meninggal dunia ketika dalam rawatan.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala akibat trauma tumpul dan beberapa kesan patah tulang rusuk lama pada bahagian badan.
Pihak hospital kemudian melaporkan perkara itu kepada polis sebelum polis melakukan siasatan dan menahan suspek.
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Kuda, di sini. – Info X