KOTA MARUDU: Kegiatan mencuri kabel di sekitar Pitas terbongkar selepas dua lelaki tempatan ditahan dalam operasi khas dijalankan sepasukan polis, awal pagi tadi.
Dalam serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bersama Balai Polis Pitas itu, polis turut merampas lima karung berisi tembaga dipercayai hasil kupasan kabel curi.
Turut disita sebuah kenderaan Perodua Aruz yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, operasi dijalankan hasil maklumat disalurkan orang awam berhubung kegiatan mencurigakan di sekitar daerah Pitas.
Katanya, hasil operasi itu membawa kepada penahanan dua suspek lelaki warga tempatan masing-masing berusia 28 dan 43 tahun di Kampung Kesegaan dan Kampung Saab, Pitas.
“Pemeriksaan lanjut menemui lima karung berisi tembaga yang dipercayai hasil kupasan kabel curi selain sebuah kenderaan Perodua Aruz.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Menurutnya, polis menghargai kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan.
“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X