TENOM: Sebuah rumah dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran di Skim LIGS Laut Seberang, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, enam motosikal turut musnah namun tiada mangsa dilaporkan terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, PPgB Mudi Pengiran berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 11 kilometer dari balai pada jam 3.02 pagi dan mendapati sebuah rumah sudah terbakar sepenuhnya.
“Turut terbakar dua kenderaan hingga musnah 100 peratus manakala sebuah lagi kenderaan jenis Proton Satria mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus pada bahagian bampar hadapan.
“Selain itu, enam motosikal turut musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.33 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.18 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X