TAWAU: Seorang pemandu lori membawa muatan buah kelapa sawit terselamat selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Wakuba Gading, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.33 pagi itu, lori 10 tan berkenaan dipercayai terbabit dalam kemalangan sebelum pasukan bomba dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan keselamatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, lokasi kejadian terletak kira-kira 29 kilometer dari BBP Tawau dan pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.03 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan buah kelapa sawit.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 35 tahun, namun disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Yores Postan hanya mengalami situasi cemas dan tidak memerlukan rawatan lanjut.
Katanya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Selepas memastikan keadaan selamat dan terkawal, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.15 pagi,” katanya. – Info X