KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diingatkan supaya sentiasa menjaga silaturahim, bersatu padu dan mengelakkan daripada berpecah serta berbalah sesama sendiri.
Perkara itu ditekankan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam perutusannya sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut pada Rabu.
Bagi umat Islam, beliau mengajak agar sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anakandanya, Nabi Ismail AS dijadikan sebagai iktibar yang sentiasa dihayati dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian.
“Aidiladha adalah hari kebesaran Islam yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian yang besar.
“Jadikan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anakandanya, Nabi Ismail AS sebagai iktibar yang sentiasa dihayati oleh seluruh umat Islam.
“Semangat inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi sebuah perjuangan. Pengorbanan memerlukan ketabahan dan ia harus bermula daripada diri sendiri.
“Inilah yang kita pelajari daripada sirah Rasulullah S.A.W yang memberikan inspirasi dan kekuatan dalam perjuangan kita membangunkan negeri tercinta ini,” katanya.
Ketua Menteri kemudian mengajak rakyat negeri ini supaya sama-sama mengambil peluang Hari Raya Aidiladha untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan berterusan bagi rakyat dan negeri ini.
Beliau juga berharap agar Aidiladha yang disambut pada tahun ini sebagai satu titik tolak untuk umat Islam terus bermotivasi dan komited meningkatkan mutu serta nilai pengorbanan agar tergolong dalam kalangan hamba Allah SWT yang dirahmati. – Info X