Search

MyDesa ResQ latih 120 wakil komuniti hadapi bencana

May 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 120 wakil komuniti termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah menyertai Kursus MyDesa ResQ anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sabah.

Kursus dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu diadakan di sebuah hotel di Inanam, di sini, baru-baru ini.

Antara kawasan DUN yang terbabit ialah Inanam, Bandau, Penampang, Pitas, Sepanggar, Kota Marudu dan Kepayan.

Kursus berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Mei itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan komuniti luar bandar dalam menghadapi bencana seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh dan ribut.

Peserta turut didedahkan dengan pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS), tindakan awal menyelamat, peranan komuniti ketika bencana serta penyelarasan bersama agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Turut hadir, wakil Pengarah Kebangsaan INFRA, Abd Jalil Ismail, Pengarah INFRA Sabah, Ruran Balang serta pegawai daripada pelbagai agensi berkaitan.

Ceramah JBPM pula disampaikan oleh Penguasa Kanan Bomba, Riki Mohan Singh Ramday yang berkongsi berkaitan pengendalian kebakaran serta tindakan kecemasan di peringkat komuniti.

Program berkenaan dilihat sebagai langkah proaktif KKDW menerusi INFRA dalam melahirkan komuniti desa yang lebih bersedia, peka dan berdaya tahan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana. – Info X